MUZIUM ADAT

Penubuhan Muzium Adat yang pertama seumpamanya di Malaysia ini adalah cetusan idea Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Majlis perasmian pembukaan Muzium Adat ini telah diadakan pada 2 Februari 2008 oleh Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Musa bin Wahab bersama-sama dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dan juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan. Muzium Adat di Kuala Klawang, Jelebu ini terletak kira-kira 30km dari bandar Seremban. Muzium ini mempunyai empat buah galeri utama yang memberi penekanan kepada kegiatan menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang dikenali sebagai adat bersesuaian dengan imej dan identiti Negeri Sembilan sebagai "Tanah Beradat".

Koleksi dan Galeri


Galeri Pertama

Galeri Aras Bawah – Pengenalan Adat di Malaysia

Galeri ini menyentuh secara umum tentang pengenalan, definisi dan konsep adat, kategori adat serta masyarakat beradat pelbagai kaum di Malaysia.

Galeri Aras Satu – Kitar Hidup

Paparan tentang adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual masyarakat di Malaysia serta muzik sebagai manifestasi adat.

.

Galeri Kedua

Galeri Aras Dua – Tradisi Intelektual / Kerajaan dan Kuasa

Aras ini mempamerkan tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat serta institusi Kesultanan Raja-raja Melayu.

Galeri Aras Tiga – Adat Perpatih

Merupakan segmen khusus tentang adat merantau masyarakat Minang dari Tanah Minangkabau sehingga bertapak di Negeri Sembilan dan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial.

Hari dan Masa Lawatan

Dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi - 5.00 petang. Tutup pada Cuti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.

Bayaran Masuk

Percuma

Lawatan Berpandu

Lawatan berpandu percuma selama satu jam diberi oleh staf Muzium berdasarkan jadual. Tempahan perlu dibuat terlebih dahulu untuk kumpulan & rombongan sekolah. Sila hubungi 06-6136621 untuk makluman lanjut.

 sumber : http://www.mdjelebu.gov.my/ms/pelawat/destinasi-menarik/muzium-adat

KUALA KLAWANG INGGERIS MEMORIAL (BATU PERINGATAN INGGERIS)

memorial   

KUALA KLAWANG MEMORIAL (Batu PeringatanInggeris).....satu monumen batu marmar yang dipahatkan dalam ingatan.

"Tapak ini telah dibersihkan oleh orang2 Eropah, Melayu, Jawa, China, Tamil, India dan Singhalese (Ceylon) di Jelebu sebagai tanda sanjungan dan taat setia yang tidak sepertinya kepada Yang Maha Mulia Ratu Great Britain dan Maharani India. Batu peringatan Inggeris Kuala Klawang Jelebu diasaskan secara bergotong royong pada bulan JUN tahun 1807.

Batu peringatan ini didirikan di atas sebuah bukit yang dinamakan bukit undang dan terletak berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Klawang dan kediaman Dato Undang Abu Bakar Maamor. Dari atas bukit ini dapat dilihat keseluruhan pekan Kuala Klawang.

MAKAM MOYANG SALLEH

. .

Makam Moyang Salleh

              Pada masa Moyang Salleh menjadi Undang Jelebu putuslah perhubungan di antara Jelebu dengan Johor. Jelebu bertukar kepada sebuah luak yang merdeka dan tidak lagi tertakluk di bawah kuasa kerajaan Johor. Zaman Moyang Salleh bin Datuek Matunggang mengandungi banyak cerita lisan, terutama yang layak dikategorikan sebagai lagenda.  

             Sekitar tahun 1725, Datuk Undang Rembau (Orang Kaya Kecil) mempunyai seorang anak perempuan yang sangat jelita bernama Seri Banun dan kecantikannya itu telah termasyhur ke merata-rata tempat. Apabila Sultan Johor mendengar berita kecantikan Seri Banun itu, baginda pun melahirkan hajat untuk meminang si jelita Rembau itu lalu menghantar utusan ke Rembau meminang Seri Banun untuk dijadikan isteri baginda. Tetapi apabila utusan Sultan Johor itu sampai ke Rembau, mereka diberitahu bahawa pinangan Sultan Johor itu tidak dapat diterima kerana Seri Banun telah ditunangkan dengan seorang pemuda di Rembau. Utusan Sultan Johor balik ke Johor lalu mempersembahkan ke bawah Sultan Johor bahawa Seri Banun telah bertunang. Sultan Johor pun murka lalu memerintahkan Orang Kaya Kecil Undang Rembau itu datang menghadap baginda. Undang Rembau enggan mematuhi perintah Sultan Johor dihantarnya seorang anak lelakinya bernama Si Amat menghadap Sultan Johor.

            Apabila Si Amat sampai di Johor dia pun menghadap Sultan Johor tetapi beliau serta-merta dibunuh oleh Sultan itu kerana perintah baginda berkehendakkan Undang Rembau datang sendiri ke Johor telah diabaikan. Berita Si Amat dibunuh Sultan itu menggemparkan seluruh Luak Rembau dan luak-luak yang lain. Apabila berita itu terdengar oleh Moyang Salleh di Jelebu beliau berasa amat aib kerana salah seorang undang luak telah dianiaya dan diberi malu bagaikan ‘dipalit arang di muka'. Setelah memaklumkan pendiriannya kepada Orang Kaya Kecil, Undang Rembau, Undang Jelebu itu lalu mengarahkan angkatannya pergi ke negeri Johor dengan membawa empat orang hulubalang gagahnya yang bernama Tok Beruang Hitam, Tok Laut Api, Tok Bauk dan Tok Gagah Lela Perkasa. Tujuan Moyang Salleh ialah hendak menuntut bela seperti yang disebut dalam Adat Perpatih "Cincang mampas, bunuh beri balas".

            Akhirnya Moyang Salleh pun sampai di Johor Lama lalu menuju ke istana sultan. Rombongan dari Jelebu itu pada awalnya tidak diperkenankan oleh Sultan Johor. Moyang Salleh terus membawa rakan-rakannya duduk di atas sebuah busut di hadapan istana. Sultan tidak membenarkan juga mereka masuk ke dalam istana. Khabar berkata, pada masa itu juga turunlah hujan tidak berhenti-henti. Sultan Johor hairan melihatkan Moyang Salleh mencampakkan bajunya ke udara dan baju itu terus kembang menjadi payung melindungi mereka daripada hujan. Oleh sebab Sultan Johor takut melihat kesaktian itu baginda pun membenarkan rombongan dari Jelebu masuk dan duduk di Balai Melintang. Baginda masih enggan juga membenarkan mereka masuk menghadap.

            Tok Beruang Hitam yang meradang telah memamah-mamah tiang-tiang di istana itu. Tok Laut Api terbatuk-batuk sambil mengeluarkan api berkepul-kepul dari mulutnya. Hingga semua penghuni istana Sultan Johor pedih mata dan cemas. Tok Bauk pula menggoncang-goncangkan istana itu sehingga penghuni istana merasa bagai digoncang gempa bumi. Kerana ketakutan, Sultan Johor lantas meminta supaya Moyagn Salleh serta hulubalangnya masuk menghadap. Anehnya, Moyang Salleh tidak pula membangkitkan isu berkaitan pembunuhan Si Amat anakanda Undang Rembau. Sebaliknya Moyang Salleh menyatakan bahawa kedatangannya itu keran menuntut merdeka supaya Jelebu tidak lagi berada di bawah naungan Johor.

            Keesokan hari dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Orang Besar-Besar dari Jelebu serta Orang Besar-Besar Johor, Sultan Johor pun mengistiharkan Moyang Salleh menjadi raja dengan gelaran Datuk Mendalika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Mulai dari itu juga Moyang Salleh tidak perlu menyembah mana-mana raja. Moyang Salleh boleh mengeluarkan perintahnya sendiri dalam wilayah perintahnya di Jelebu dan tidak perlu lagi menerima naungan atau perintah daipada Sultan Johor.

 

MASJID KAMPUNG KUALA DULANG

masjid kuala dulang

Masjid Kariah Kampung Kuala Dulang adalah suatu nama yang terkenal dengan sejarah yang unik dan masjid yang tertua di daerah Jelebu, Negeri Sembilan.Lokasi masjid yang dibina pinggir tebing sungai di Kampung Peninjau kira-kira 1 kilometer dari bandar Kuala Klawang. Ia merupakan masjid yang tertua di daerah Jelebu. Dato’ Nika dan Mudin Katib Raja dikatakan sebagai pengasas dan pendakwah dari Minangkabau yang mula-mula menyebarkan agama Islam di Jelebu. Kedua-duanya juga dianggap peneroka yang membuka Kampung Peninjau.Masjid Kuala Dulang yang asalnya sebuah bangsal beratapkan ijok yang menjadi tempat pendakwah itu berteduh. Didirikan pada abad ke-16, iaitu zaman awal kedatangan Islam ke Jelebu. Pada awalnya, sudah tentu pembinaannya tanpa menggunakan paku.Masjid lama ini juga mempunyai kisah misteri yang melibatkan asal usul nama masjid Kuala Dulang ini. Peristiwa kehadiran dulang yang berisi makanan dan tidak diketahui siapa yang menghidangkannya. Yang anehnya, seramai manapun jemaah yang hadir, makanan itu tetap cukup tanpa perlu ditambah untuk semua termasuk musafir. Kejadian itu berlarutan berberapa tahun sehinggalah kemudiannya dulang itu hilang begitu sahaja tanpa diketahui siapakah empunyanya.Pada hari ini, masjid ini masih lagi digunakan dengan aktif. Walaupun beberapa perubahan telah dilakukan terhadap masjid ini, keaslian struktur asalnya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini.Cerita lama yang diperkatakan mengenai keistimewaan masjid berkenaan hingga menyebabkan ramai orang datang termasuk dari luar negeri ini yang singgah dan bermusafir di masjid ini.Setakat ini, tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti berbentuk khurafat di masjid dan kawasan sekitarnya, sebaliknya kebanyakan yang datang hanya untuk beribadat.Penulis mendengar sendiri kisah yang diceritakan oleh Mat Zain Yaacob selaku Pengerusi Masjid dan Imam II Kariah Kuala Dulang, Abu Zarin Maarof. Tabuh yang diperbuat daripada kayu hutan dan kulit lembu untuk diketuk bagi memberitahu masuk waktu sembahyang juga masih dikekalkan. Usia peralatan tabuh itu dikatakan sama dengan usia masjid iaitu pada abad ke-16.Penulis juga bertanya kepada Pengerusi Masjid Kuala Dulang mengenai banjir yang melanda kawasan itu pada masa dulu. Banjir besar berlaku dua kali iaitu sebelum merdeka dan pada awal tahun 70-an. Ramai penduduk yang pelik dengan keajaiban itu kerana masjid berkenaan terletak di tepi tebing sungai sedangkan semua rumah penduduk ditenggelami air hingga paras pinggang.“Ada seperti ranting kayu di sungai ketika itu. Ia seolah-olah mengalihkan air banjir dari masuk ke kawasan masjid”.Begitulah kisahnya rumah Allah yang mempunyai kelebihannya tersendiri. Apa yang perlu dilakukan adalah terus beribadat di rumah Allah. Jagalah hubungan kita dengan Allah dan juga hubungan kita dengan Manusia..

sumber :http://denai.my/masjid-kampung-kuala-dulang/