TAJUK : KEREPEK PISANG DAN MARUKU RANGUP

NAMA : SYAWALNE BINTI ABDUL KADER

UMUR : 23 TAHUN

AHLI : 2010

LATAR BELAKANG :

Syawalne merupakan anak jati Kampung Seperi yang kini berusia 22 tahun. Syawalne merupakan anak sulung daripada 5 beradik. Syawalne mempunyai latar belakang pendidikan sehingga Sijil Tinggi  Pelajaran Malaysia (STPM). Selain itu, Syawalne telah menjadi ahli berdaftar Pusat Internet Ulu Seperi semenjak awal penubuhan Pusat Internet pada tahun 2010. Memandangkan jarak rumah Syawalne dengan Pusat Internet Ulu Seperi hanya 1 kilometer sahaja Syawalne kerap mengunjungi Pusat Ineternet untuk menggunakan perkhidmatan dan kemudahan yang ada.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT :

Sebelum penglibatan Syawalne di Pusat Internet, Syawalne sememangnya sering berkunjung ke Pusat Internet untuk menggunakan kemudahan dan perkhidmatan yang ada di sini terutamanya untuk menggunakan komputer dan internet. Memandangkan Syawalne kerap berkunjung ke Pusat Internet, Syawalne boleh menggunakan komputer dan internet tanpa bantuan daripada petugas. Namun demikian, Syawalne kurang ilmu pengetahuan di dalam bidang keusahawanan. Oleh hal yang demikian, Syawalne mengambil keputusan untuk menyertai Pertandingan Usahawan Online Pusat Internet yang diadakan pada bulan Ogos yang lalu. Hal ini kerana, melalui platform ini Syawalne berpeluang untuk mempelajari cara-cara untuk berniaga secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Shopee.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT :

Syawalne telah mengikuti 3 siri latihan/kelas keusahawanan yang dianjurkan oleh petugas untuk Pertandingan Usahawan Online Pusat Internet. Kini, Syawalne telah mempunyai kedai atas talian menerusi aplikasi Shopee dan kedai tersebut diberi nama Zai Shop. Melalui kelas keusahawanan ini juga, Syawalne lebih berkeyakinan untuk memasarkan produk kerepek pisang dan maruku ranggup secara atas talian pula. Selain itu, dengan adanya platform atas talian ini, Syawalne kini telah berjaya menambah satu lagi produk di kedai atas talian beliau iaitu menjual Mimi Bauty Skincare.

syawal.jpg  syawal.png

TAJUK : FLUFFY SLIME

NAMA : SITI NOR FARISZA BINTI BAHARUDDIN

UMUR : 35 TAHUN

AHLI : 2020

LATAR BELAKANG :

Puan Farisza merupakan seorang usahawan yang menjual produk permainan Fluffy Slime dan juga produk makanan Pucuk Ubi Goreng Makngah. Puan Farisza juga merupakan seorang suri rumah sepenuh masa demi untuk menjaga keperluan keluarga beliau. Namun, dalam era globalisasi masa kini sudah pastinya wang memainkan peranan penting untuk kelangsungan hidup seseorang itu.

Oleh hal yang demikian, Puan Farisza mula berjinak-jinak untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan yang bermula dari rumah beliau. Hal ini demikian kerana, apabila anak-anak menginjak ke alam persekolahan pelbagai keperluan perlu disediakan dan segalanya memerlukan wang dan secara tidak langsung dengan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan ini dapat membantu meringankan bebanan keluarga Puan Farisza.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT :

Lazimnya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa, Puan Farisza sememangnya kekok untuk menggunakan peralatan seperti komputer. Hal ini demikian kerana, Puan Farisza lebih selesa menggunakan telefon pintar untuk menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Oleh hal yang demikian, Puan Farisza mengambil keputusan untuk mengunjungi Pusat Internet Ulu Seperi pada Januari tahun ini bagi mendaftar sebagai ahli. Sejurus selesai mendaftar sebagai ahli Pusat Internet Ulu Seperi, Puan Farisza berpeluang untuk memasuki kelas-kelas yang dijalankan secara percuma sahaja.

Sebelum berkunjung ke Pusat Internet Ulu Seperi, Puan Farisza hanya menggunakan medium Facebook dan Whatsapp sebagai platform untuk mempromosikan dan menjual produk beliau.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT :

Semenjak dari awal tahun Puan Farisza ada mengunjungi Pusat Internet Ulu Seperi bagi mempelajari mengenai ilmu kemahiran keusahawanan. Namun demikian, apabila negara kita dilanda pandemik Covid-19 , Pusat Internet tidak beroperasi dan secara tidak langsung sedikit sebanyak menjejaskan kelas keusahawanan Puan Farisza. Namun demikian, Puan Farisza mempunyai semangat  dan azam yang sangat kuat dalam bidang perniagaan ini.

Oleh hal yang demikian, Puan Farisza merebut peluang untuk menyertai Pertandingan Usahawan Baru Online 2020 Pusat Internet. Puan Farisza bersama-sama peserta yang lain telah mempelajari secara keseluruhan mengenai perniagaan secara atas talian dengan menggunakan aplikasi Shopee. Kini, Puan Farisza telah berjaya membuka sebuah kedai secara atas talian yang diberi nama “Fluffy Smile”.

 

TAJUK : STOKIS MAKANAN

NAMA : MOHD HAFIZ BIN TARIF

UMUR : 34 TAHUN

AHLI : 2019

LATAR BELAKANG :

Encik Hafiz merupakan seorang belia yang menetap di Kampung Gagu dan tinggal sendirian di kediaman beliau. Encik Hafiz bekerja sebagai Pembantu Am di Kafetaria Kolej Vokasional Kuala Klawang. Namun demikian, semenjak negara kita dilanda Covid-19 dan menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau seakan hilang mata pencarian kerana beliau bekerja di kafetaria tersebut dan dibayar secara harian. Oleh hal yang demikian, beliau sedaya upaya untuk mencari sumber pendapatan yang lain bagi menyara hidup sepanjang tempoh PKP ini.

Oleh itu, tercetusnya idea Encik Hafiz untuk mencuba menjadi ejen kepada pelbagai jenis makanan bagi menampung perbelanjaan harian beliau. Encik Hafiz menjadi ejen menjual pelbagai jenis kerepek, pelbagai jenis kuih muih frozen dan juga menjual sate.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT :

Sebelum berkunjung ke Pusat Internet Ulu Seperi, Encik Hafiz sememangnya kurang menggunakan komputer untuk kegunaan harian beliau. Hal ini demikian kerana beliau lebih selesa untuk menggunakan telefon pintar sebagai alat telekomunikasi bagi menyelesaikan pelbagai urusan harian. Oleh itu, Encik Hafiz mengambil keputusan untuk mengunjungi Pusat Internet bagi mempelajari dan mendalami cara-cara untuk menggunakan komputer dan internet. Di samping itu, Encik Hafiz juga tidak mempunyai kemahiran dalam ilmu keusahawanan terutamanya bagi mempromosikan produk-produk jualan beliau.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT :

Oleh disebabkan kekangan waktu, Encik Hafiz hanya berkunjung ke Pusat Internet Ulu Seperi apabila terdapat masa yang terluang. Namun demikian, Encik Hafiz lebih selesa menggunakan aplikasi Whatsapp sebagai medium untuk mempelajari mengenai ilmu keusahawanan ini. Encik Hafiz mengambil keputusan untuk berhubung dengan petugas melalui aplikasi Whatsapp bagi menimba ilmu keusahawanan.

Selepas mengikuti beberapa siri latihan keusahawanan, Encik Hafiz kini lebih berkeyakinan untuk membuat posting bagi tujuan mempromosikan produk jualan beliau. Selain itu, Encik Hafiz juga dapat menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan beliau.

 1.jpg  4.png

 

TAJUK : PAKAIAN BUNDLE

NAMA : NURUL ASHIKIN BT MOHD ZAINI

UMUR : 29 TAHUN

AHLI : 2020

LATAR BELAKANG :

Puan Ashikin merupakan seorang usahawan dan suri rumah sepenuh masa yang berasal dari negeri Pulang Pinang. Setelah mendirikan rumah tangga empat tahun yang lalu, kini Puan Ashikin menetap di Kampung Seperi Tengah bersama keluarga beliau. Puan Ashikin mendapat idea untuk menceburi bidang keusahawanan kerana beliau mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.

Di samping itu, Puan Ashikin menceburi bidang keusahawanan kerana beliau ingin menjana pendapatan sampingan bagi membantu keluarga beliau. Puan Ashikin mendapat idea untuk menjual pakaian bundle bagi kanak-kanak kerana lazimnya pakaian bundle kanak-kanak ini mendapat permintaan yang tinggi daripada para pembeli dan penggemar pakaian bundle.

SEBELUM PENGGUNAAN ICT :

Sebelum penglibatan Puan Ashikin di Pusat Internet Ulu Seperi, Puan Ashikin amat jarang untuk berkunjung ke Pusat Internet jika tiada perkara mustahak yang perlu diselesaikan. Selain itu, Puan Ashikin juga tidak begitu mahir dalam penggunaan komputer memandangkan beliau hanya menggunakan telefon bimbit sepenuhnya jika mempunyai sebarang urusan.

Selain itu, Puan Ashikin juga telah mempunyai latar belakang kemahiran keusahawanan memandangkan beliau telah berkecimpung dalam dunia keusahawanan sejak dari bangku sekolah lagi. Namun demikian, Puan Ashikin ingin medalami ilmu keusahawan dengan lebih mendalam lagi. Oleh itu, Puan Ashikin mengambil keputusan untuk mengunjungi Pusat Internet Ulu Seperi dan seterusnya mendaftar sebagai ahli Pusat Internet.

SELEPAS PENGGUNAAN ICT :

Selepas mendaftar sebagai ahli Pusat Internet Ulu Seperi, Puan Ashikin lebih kerap mengunjungi Pusat Internet memandangkan jarak di antara Pusat Internet dan rumah beliau hanya dalam 0.3 kilometer sahaja. Semasa berkunjung ke Pusat Internet, Puan Ashikin telah mempelajari pelbagai ilmu keusahawanan dan ilmu asas teknologi maklumat.

Setelah mengikuti beberapa siri latihan di Pusat Internet, kini Puan Ashikin lebih berkeyakinan dan bersemangat untuk meneruskan minat beliau di dalam bidang keusahawanan. Selain itu, Puan Ashikin juga telah mempunyai akaun perniagaan atas talian iaitu dengan menggunakan aplikasi Shopee. Kini, jumlah pelanggan / pembeli Puan Ashikin semakin bertambah dari sehari ke sehari. Oleh hal yang demikian, pendapatan sampingan Puan Ashikin turut meningkat dari semasa ke semasa.

 

 

TAJUK : MINUMAN COKLAT AEX3XIE

NAMA : MUNAWWARAH BINTI ARIFF AFANDI

UMUR : 13 TAHUN

AHLI : 2018

LATAR BELAKANG :

Adik Munawwarah merupakan seorang pelajar tingkatan 1 yang bersekolah di SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj dan beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Adik Munawwarah menetap bersama keluarga beliau di Taman Nagamas iaitu kira-kira 4 Kilometer sahaja dari Pusat Internet Ulu SeperiAdik Munawwarah mula berdaftar menjadi ahli Pusat Internet Ulu Seperi pada 23 Mac 2018 dan seringkali mengunjungi Pusat Internet jika terdapat masa terluang bersama rakan-rkan yang lain. Pada awalnya Adik Munawwarah hanya belajar menggunakan komputer dan internet hanya untuk tujuan pelajaran dan seringkali mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan di Pusat Internet.

 

SEBELUM PENGGUNAAN ICT :

Bermulanya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pendemik Covid 19 bermula 18 Mac 2020 yang lalu, telah tercetusnya idea Adik Munawwarah untuk mencuba melakukan sesuatu aktiviti yang dirasakan bermanfaat dan membuah hasil dalam berbentuk wang. Beliau yang sahaja baru berusia 13 tahun mempunyai minat yang tinggi untuk bergelar seorang usahawan cilik. Oleh disebabkan sesi persekolahan belum bermula lagi, Adik Munawwarah mendapat idea untuk mencuba menjadi agen kepada produk minuman coklat AEX3XIE oleh Int3Tree. Adik Munawwarah menjadi agen bagi daerah Jelebu dimana di kawasan ini masih belum ada agen yang menjual produk tersebut.

Adik Munawwarah mendapat idea untuk menjual produk ini kerana ibu saudara beliau juga merupakan agen kepada produk ini dan Adik Munawwarah juga mendapat galakkan yang memberangsangkan daripada ahli keluarga beliau.

Oleh hal yang demikian, Adik Munawwarah mengambil keputusan untuk berkunjung ke Pusat Internet Ulu Seperi bagi mendapatkan bantuan daripada petugas bagi mempelajari cara-cara untuk mempromosikan produk jualan beliau dan mempelajari mengenai perniagaan secara atas talian.

 

SELEPAS PENGGUNAAN ICT :

Pada 16 Jun yang lalu, Adik Munawwarah telah mengunjungi Pusat Internet Ulu Seperi bagi mempelajari cara-cara untuk membuat posting yang menarik bagi tujuan mempromosikan produk jualan beliau. Selain itu, Adik Munawwarah turut mempelajari cara-cara untuk menggunakan medium Latihan Asas Media Baru iaitu Facebook dan Instagram bagi tujuan mempromosikan produk.

Selain itu, Adik Munawwarah juga telah menggunakan perkhidmatan di Pusat Internet Ulu Seperi iaitu bagi mencetak flyers produk minuman coklat AEX3XIE. Setelah mengikuti beberapa siri latihan di Pusat Internet, Adik Munawwarah lebih berkeyakinan untuk mempromosikan produk beliau di laman media sosial.

 Capture.JPG  WhatsApp Image 2020-06-23 at 14.59.31.jpeg